Masa Adalah Amanah, Urus Dengan Bijaksana



Masa Adalah Amanah, Urus Dengan Bijaksana

 

Setiap manusia diberikan satu perkara yang sama setiap hari, 24 jam. Tidak kira kaya atau miskin, pelajar atau guru, muda atau tua, semua mempunyai jumlah masa yang sama. Namun, perkara yang membezakan seseorang dengan seseorang yang lain ialah bagaimana masa tersebut digunakan.

 

Ada orang menggunakan masa untuk belajar, membina kemahiran, membantu keluarga dan memperbaiki diri. Ada pula yang menghabiskan sebahagian besar masanya dengan perkara yang tidak memberi banyak manfaat. Akhirnya, bukan kerana kita kekurangan masa, tetapi kerana kita mungkin membiarkan masa berlalu tanpa arah.

 

Sebab itu masa bukan sekadar sesuatu yang perlu diurus malah dalam kehidupan seorang Muslim, masa ialah amanah.

 

Mengapa pengurusan masa penting? Pengurusan masa bukan bermaksud kita perlu memenuhi setiap minit dalam sehari dengan aktiviti. Ia bermaksud kita tahu perkara yang perlu diberikan keutamaan dan menggunakan masa yang ada dengan sebaik-baiknya.

 

Apabila kita mengurus masa dengan baik, kita akan lebih mudah mencapai matlamat, menyelesaikan tugasan mengikut masa, mengurangkan tekanan dan rasa tergesa-gesa, menjadi lebih produktif, memberikan ruang kepada perkara yang lebih bermakna dan membina disiplin dan rasa tanggungjawab.

 

Sebaliknya, apabila masa tidak diurus, banyak perkara penting akan ditangguhkan. Kerja sekolah semakin bertambah, ulang kaji dilakukan pada saat akhir dan akhirnya kita berasa tertekan kerana masa semakin suntuk.

 

Masa tidak pernah berpatah balik. Kita boleh mendapatkan semula wang yang hilang. Kita boleh membeli semula barang yang rosak, menggantikan telefon yang hilang. Tetapi masa yang telah berlalu tidak akan kembali. Semalam sudah menjadi sejarah. Hari esok belum tentu menjadi milik kita. Apa yang benar-benar kita miliki ialah hari ini.

 

Sebab itu setiap hari merupakan peluang. Peluang untuk belajar, untuk memperbaiki kesilapan, untuk meminta maaf, untuk membaca, membantu ibu bapa dan menjadi manusia yang lebih baik.

 

Jangan terlalu sibuk menyesali masa lalu sehingga kita lupa menggunakan masa yang masih ada. Bukanlah kita kekurangan masa, tetapi kita seringembazirkannya.

 

Kadangkala kita berkata, "Saya tak cukup masa untuk belajar.". Tetapi dalam masa yang sama, kita mungkin menghabiskan berjam-jam menonton video, bermain permainan atau menatal media sosial.

 

Persoalannya bukan semata-mata berapa banyak masa yang kita ada, tetapi ke mana masa kita pergi. Cuba perhatikan satu hari kehidupan kita.

 

Berapa lama kita belajar? Berapa lama kita menggunakan telefon? Berapa lama kita tidur? Berapa lama kita bermain? Berapa lama kita berbual? Berapa lama kita melakukan perkara yang benar-benar membawa kita lebih dekat kepada matlamat?

 

Apabila kita mula menyedari ke mana masa kita digunakan, barulah kita boleh melakukan perubahan. Tetapkan matlamat yang jelas. Pengurusan masa bermula dengan matlamat. Jika kita tidak tahu ke mana hendak pergi, kita tidak akan tahu bagaimana hendak menggunakan masa. Seorang pelajar perlu mempunyai sasaran yang jelas.

 

Contohnya "Saya mahu meningkatkan pencapaian Matematik." Daripada matlamat itu, kita boleh menentukan tindakan ulang kaji 30 minit sehari, buat latihan secara konsisten, bertanya kepada guru apabila tidak faham, membuat semakan setiap minggu. Matlamat yang jelas menjadikan masa lebih terarah.

 

Buat perancangan harian. Jangan hanya menyimpan semua rancangan dalam kepala. Tuliskan dan Blbuat senarai perkara yang perlu dilakukan pada hari tersebut. Perancangan yang mudah membantu kita melihat perkara yang perlu diselesaikan dan mengelakkan kita daripada melakukan semuanya pada saat terakhir.

 

Belajar membezakan yang Plpenting dan yang tidak penting. Tidak semua perkara mempunyai keutamaan yang sama. Ada perkara yang penting dan perlu dilakukan segera. Ada perkara yang penting tetapi boleh dirancang. Ada perkara yang tidak begitu penting tetapi sering mengambil masa kita.

 

Pelajar yang bijak mengurus masa belajar bertanya, "Apa yang paling penting untuk saya lakukan sekarang?" Jika esok ada peperiksaan, mungkin ulang kaji perlu diberi keutamaan berbanding bermain permainan video. Jika ada tugasan yang perlu dihantar minggu hadapan, kita boleh merancangnya lebih awal supaya tidak perlu menyiapkannya pada malam terakhir. Mengurus masa sebenarnya ialah mengurus keutamaan.

 

Jangan biarkan gajet mengurus masa kita. Telefon pintar dan media sosial bukan semestinya perkara yang buruk. Ia boleh digunakan untuk belajar, berkomunikasi dan mendapatkan maklumat. Namun, masalah berlaku apabila kita kehilangan kawalan terhadap penggunaannya.

 

Kita hanya mahu membuka telefon selama lima minit. Tiba-tiba 30 minit berlalu. Kemudian satu jam. Akhirnya kita tertanya, "Ke mana masa saya pergi?"

 

Sebab itu teknologi perlu menjadi alat kita, bukan kita menjadi hamba kepada teknologi. Tetapkan masa penggunaan. Matikan notifikasi yang tidak diperlukan. Letakkan telefon jauh ketika belajar dan yang paling penting, belajar mengatakan, "Cukup."

 

Masa juga perlu diberikan kepada rehat. Pengurusan masa bukan bermaksud belajar sepanjang hari tanpa berehat. Tubuh dan minda juga mempunyai keperluan. Kita perlu tidur dengan cukup, berehat, bersukan, melakukan aktiviti yang disukai dan meluangkan masa bersama keluarga.

 

Keseimbangan penting kerana manusia bukan mesin. Pelajar yang baik bukan pelajar yang sentiasa sibuk, tetapi pelajar yang tahu bila perlu belajar, bila perlu bekerja, bila perlu berehat dan bila perlu berhenti. Pengurusan masa yang baik menghasilkan kehidupan yang lebih seimbang.

 

Masa dalam perspektif Al-Quran memberikan satu peringatan yang sangat kuat tentang masa melalui Surah al-'Asr, "Demi masa." (Surah al-'Asr: 1)

 

Kemudian Allah SWT menjelaskan bahawa manusia berada dalam kerugian, kecuali mereka yang beriman, melakukan amal soleh, saling menasihati kepada kebenaran dan kesabaran.

 

Surah yang sangat pendek ini memberikan satu mesej yang sangat besar, masa yang berlalu tanpa iman, amal dan kebaikan boleh menjadi kerugian. Maka, persoalan yang perlu kita tanyakan bukan sekadar,

"Berapa banyak masa yang saya ada?" Tetapi "Apakah yang saya lakukan dengan masa yang Allah berikan kepada saya?"

 

Masa hari ini menentukan masa depan. Kadangkala kita terlalu memikirkan masa depan sehingga lupa bahawa masa depan sebenarnya sedang dibina oleh tindakan kita hari ini. Masa depan seorang pelajar dibina melalui apa yang dilakukannya sekarang. Jika hari ini kita rajin membaca, kita sedang membina ilmu.

 

Jika hari ini kita berdisiplin, kita sedang membina karakter. Jika hari ini kita belajar mengurus masa, kita sedang membina kebiasaan yang akan membantu kita apabila dewasa nanti. Jika hari ini kita belajar menghargai masa, kita sedang belajar menghargai kehidupan.

 

Hari ini menentukan banyak perkara tentang hari esok. Mulakan sekarang, jangan bertangguh. Salah satu musuh terbesar pengurusan masa ialah sikap bertangguh.

 

"Nanti saya buat."

"Esok saya belajar."

"Malam nanti saya siapkan."

 

Masalahnya, "nanti" sering berubah menjadi "terlambat". Jika sesuatu boleh dilakukan sekarang, lakukan. Jika tugasan boleh dimulakan hari ini, mulakan. Jika buku boleh dibaca sekarang, buka. Jika ibu bapa perlu dibantu, bangun dan bantu.

 

Kita tidak perlu menunggu motivasi yang sempurna. Mulakan dengan tindakan kecil. Urus masa, urus diri. Pada akhirnya, pengurusan masa sebenarnya bukan hanya tentang jam dan jadual. Ia adalah tentang pengurusan diri. Kita belajar mengawal keinginan, menetapkan keutamaan, berkata tidak kepada perkara yang membazirkan masa dan bertanggungjawab terhadap pilihan sendiri.

 

Sebab itu seseorang yang mampu mengurus masa dengan baik sebenarnya sedang belajar menjadi manusia yang lebih matang. Formula mudah mengurus masa boleh kita ringkaskan sebagai;

 

MATLAMAT → RANCANG → UTAMAKAN → LAKSANAKAN → NILAI

 

Tetapkan matlamat. Buat perancangan. Tentukan keutamaan. Laksanakan apa yang telah dirancang. Kemudian lihat semula apa yang telah dilakukan dan perbaiki kelemahan. Ulangi proses ini setiap hari. Sedikit demi sedikit, kita akan menjadi lebih teratur.

 

Masa tidak pernah meminta kita menjadi sempurna. Masa hanya terus bergerak. Persoalannya ialah apakah yang kita lakukan ketika masa itu bergerak? Adakah kita menggunakannya untuk membina diri? Adakah kita menggunakannya untuk menuntut ilmu? Adakah kita menggunakannya untuk berbuat baik? Atau kita membiarkannya berlalu tanpa tujuan?

 

Jangan tunggu sehingga dewasa baru belajar menghargai masa. Belajarlah mengurus masa sejak di bangku sekolah kerana masa hari ini ialah bahan yang sedang membina masa depan kita. "Masa tidak akan kembali. Gunakan masa hari ini sebaiknya untuk membina masa depan yang lebih baik."

 

Urus masa, urus diri, capai impian dan ingat, masa adalah amanah. Jangan bazirkan.

 

Comments

Popular posts from this blog

Gagal Bukan Pengakhiran, Tetapi Permulaan Yang Lebih Baik : Jangan Bandingkan Diri Dengan Orang Lain