Gagal Bukan Pengakhiran, Tetapi Permulaan Yang Lebih Baik : Jangan Bandingkan Diri Dengan Orang Lain



Jangan Bandingkan Diri Dengan Orang Lain

 

Dunia kita hari ini seperti memaksa kita untuk mudah membandingkan diri dengan orang lain. Kita melihat rakan mendapat keputusan peperiksaan yang lebih tinggi, lebih aktif dalam kokurikulum, lebih petah bercakap, lebih ramai kawan, lebih yakin atau kelihatan lebih berjaya. Tanpa kita sedari, kita mula bertanya kepada diri sendiri, “Kenapa aku tidak macam dia?”

 

Perbandingan seperti ini boleh berlaku kepada sesiapa sahaja, termasuk pelajar. Lebih-lebih lagi apabila media sosial menjadikan kehidupan orang lain kelihatan begitu sempurna. Kita melihat kejayaan mereka, tetapi jarang melihat perjuangan, kegagalan, tekanan dan proses panjang yang mereka lalui. Sebab itu kita perlu belajar satu perkara penting, jangan jadikan kehidupan orang lain sebagai ukuran nilai diri kita.

 

Kita harus sedar bahawa setiap orang mempunyai perjalanan yang berbeza. Tidak semua orang bermula dari tempat yang sama. Ada pelajar yang cepat memahami Matematik, tetapi mungkin menghadapi kesukaran dalam Bahasa. Ada yang petah bercakap di hadapan orang ramai, tetapi memerlukan masa untuk membina keyakinan dalam perkara lain. Ada yang mendapat keputusan cemerlang sejak awal persekolahan. Ada pula yang memerlukan lebih banyak masa untuk menemukan cara belajar yang sesuai. Semua itu normal.

 

Kita tidak perlu mempunyai perjalanan yang sama untuk mencapai kehidupan yang bermakna. Perbezaan bukan bermaksud kekurangan. Ia hanya menunjukkan bahawa setiap manusia mempunyai kekuatan, kelemahan, pengalaman dan kadar perkembangan yang berbeza. Perbandingan yang salah boleh melemahkan diri dan apabila membandingkan diri dengan orang lain tidak semestinya buruk. Kadangkala kita melihat kejayaan seseorang dan mendapat inspirasi untuk memperbaiki diri.

 

Masalah bermula apabila perbandingan tersebut membuatkan kita merendahkan diri sendiri. Maka bermulalah ada skrip tertentu seperti;

 

"Dia dapat A, aku cuma dapat B."

"Dia sudah berjaya, aku masih di sini."

"Dia pandai bercakap, aku tidak."

"Dia lebih popular daripada aku."

 

Jika pemikiran seperti ini berulang, kita mungkin mula melihat diri sebagai seseorang yang tidak cukup baik. Akhirnya, kita bukan lagi berusaha untuk berkembang, tetapi sibuk membuktikan bahawa kita tidak kalah dengan orang lain. Itu bukan perkembangan. Itu persaingan yang melelahkan. Jadi, siapa yang patut kita bandingkan? Diri kita sendiri. Jadi, mulalah ukur diri dengan diri sendiri semalam, itu memadai. Nabi pun minta kita berbuat begitu sebagai muhasabah, hari ini mesti lebih baik dari semalam. Kita mustahil sempurna, tapi pasti lebih baik.

 

Tanyakan pada diri adakah aku lebih rajin daripada semalam? Adakah aku lebih berdisiplin? Adakah aku lebih berani mencuba? Adakah aku lebih banyak membaca? Adakah aku lebih pandai mengurus masa? Adakah aku lebih mampu mengawal emosi? Adakah aku lebih baik dalam menjaga hubungan dengan ibu bapa dan guru?

 

Jika hari ini kita lebih baik walaupun sedikit berbanding semalam, itu sudah merupakan satu kemajuan. Tidak perlu menjadi lebih baik daripada semua orang. Cukuplah menjadi lebih baik daripada diri kita yang dahulu kerana kemajuan kecil tetap kemajuan. Kadangkala kita terlalu fokus kepada pencapaian besar sehingga tidak menghargai perubahan kecil.

 

Semalam kita belajar selama 20 minit. Hari ini kita belajar 30 minit. Itu kemajuan. Semalam kita takut bertanya. Hari ini kita berani mengangkat tangan dan bertanya kepada guru. Itu kemajuan. Semalam kita selalu menangguhkan kerja. Hari ini kita mula menyiapkan tugasan lebih awal. Itu juga kemajuan. Jangan meremehkan perubahan kecil. Pokok besar juga bermula daripada benih yang kecil.

 

Seperkara lagi yang perlu difahami oleh pelajar ialah apa yang kita lihat di media sosial hanyalah sebahagian daripada kehidupan seseorang. Media sosial bukan gambaran keseluruhan kehidupan. Kita melihat gambar kejayaan, keputusan yang cemerlang dan perjalanan yang menarik. Tetapi kita tidak melihat semua perkara yang berlaku di belakangnya.

 

Kita tidak tahu berapa kali mereka gagal, berapa banyak mereka berusaha, berapa banyak pengorbanan yang dilakukan dan kita juga tidak tahu apa cabaran yang sedang mereka hadapi. Jadi jangan membandingkan kehidupan sebenar kita dengan paparan terbaik kehidupan orang lain. Itu perbandingan yang tidak adil.

 

Oleh itu, kenalilah kekuatan diri daripada terlalu sibuk melihat kelebihan orang lain, gunakan masa untuk mengenali kekuatan diri sendiri. Tanyakan, apa yang saya boleh lakukan dengan baik? Apa yang saya minati? Apakah kemahiran yang saya mahu bina? Apakah kelemahan yang perlu saya perbaiki?

 

Usaha yang kita lakukan untuk mengenali diri bukan bermaksud kita menganggap diri sudah sempurna. Sebaliknya, kita menerima diri dengan jujur dan pada masa yang sama berusaha untuk menjadi lebih baik. Inilah sebahagian daripada proses Teroka Diri dalam model I-T.U.N.E. Kita perlu mengenali siapa diri kita sebelum kita mampu menentukan siapa yang kita mahu menjadi.

 

Jangan sesekali gunakan kelemahan sebagai alasan. Tidak membandingkan diri dengan orang lain bukan bermaksud kita boleh berpuas hati dengan kelemahan. Jika ada kelemahan, perbaiki. Jika ada kemahiran yang belum dikuasai, belajar. Jika ada keputusan yang kurang baik, analisis dan cuba lagi. Bezanya ialah kita tidak menggunakan orang lain sebagai ukuran utama. Kita bertanya, "Bagaimana aku boleh menjadi lebih baik daripada diriku yang dahulu?" Soalan ini lebih sihat dan lebih membina.

 

Fokus kepada perjalanan diri sendiri. Bayangkan dua orang pelajar. Pelajar A mendapat keputusan 90%. Pelajar B mendapat 60%. Adakah Pelajar B semestinya gagal? Jawapannya sudah tentu tidak. Jika sebelum ini Pelajar B mendapat 40% dan sekarang meningkat kepada 60%, dia sebenarnya telah membuat kemajuan yang besar. Begitu juga jika Pelajar A mendapat 90% tetapi sebelum ini 95%. Dia mungkin perlu melihat semula strategi belajarnya. Sebab itu angka semata-mata tidak menceritakan keseluruhan perjalanan seseorang. Kita perlu melihat proses, bukan hanya hasil.

 

Islam tidak mengajar manusia untuk mengukur kemuliaan berdasarkan rupa, kekayaan, populariti atau pencapaian duniawi semata-mata tetapi dalam islam, setiap manusia mempunyai nilai. Allah SWT berfirman yang bermaksud; "Sesungguhnya orang yang paling mulia antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa." (Surah al-Hujurat: 13)

 

Ayat ini mengingatkan kita bahawa ukuran kemuliaan manusia bukan semata-mata apa yang dapat dilihat oleh manusia. Maka jangan terlalu cepat merendahkan diri hanya kerana pencapaian kita belum seperti orang lain. Teruskan usaha. Perbaiki diri. Jaga hubungan dengan Allah dan lakukan yang terbaik berdasarkan kemampuan yang kita ada. Jadikanlah orang lain sebagai inspirasi, bukan ukuran nilai diri.

 

Kita masih boleh mengagumi kejayaan orang lain. Jika seorang rakan berjaya, ucapkan tahniah. Jika seseorang mempunyai kemahiran yang kita belum ada, belajarlah daripadanya. Jika seseorang lebih maju, jadikan dia sumber inspirasi. Tetapi jangan sampai kejayaan orang lain membuatkan kita membenci diri sendiri. Kejayaan orang lain bukan bukti bahawa kita gagal. Sebaliknya, ia boleh menjadi bukti bahawa sesuatu yang kita impikan itu mungkin dicapai dengan usaha dan strategi yang betul.

 

Kita boleh gunakan satu kaedah mudah: DULU → SEKARANG → SETERUSNYA

 

DULU: Bagaimana keadaan saya sebelum ini?

SEKARANG: Apa perubahan yang telah saya capai?

SETERUSNYA: Apa satu perkara yang saya mahu perbaiki selepas ini?

 

Cara ini akan membantu kita untuk sentiasa mempunyai ruang untuk berkembang tanpa perlu hidup dalam tekanan untuk mengalahkan semua orang. Tidak perlu memilih untuk berlari dalam laluan orang lain. Bayangkan perlumbaan yang mempunyai pelbagai laluan. Ada orang sampai dahulu. Ada orang mengambil masa lebih lama. Ada yang perlu berhenti seketika. Ada yang tersilap jalan dan perlu kembali semula tetapi apa yang penting ialah kita terus bergerak menuju destinasi yang betul.

 

Begitu juga kehidupan. Jangan berhenti hanya kerana orang lain sudah jauh di hadapan. Perjalanan mereka bukan perjalanan kita. Masa mereka bukan masa kita. Kekuatan mereka bukan kekuatan kita dan kejayaan mereka bukan ukuran kegagalan kita. maka berusahalah jadi lebih baik, sedikit demi sedikit. Kita tidak perlu menjadi manusia yang paling hebat. Kita hanya perlu menjadi manusia yang sentiasa mahu berkembang.

 

Jika hari ini kita lebih sabar daripada semalam, itu kemajuan. Jika hari ini kita lebih rajin daripada semalam, itu kemajuan. Jika hari ini kita lebih berani daripada semalam, itu kemajuan. Jika hari ini kita lebih dekat kepada Allah daripada semalam, itu juga kemajuan. Jangan terlalu sibuk melihat perjalanan orang lain sehingga lupa melihat perjalanan diri sendiri. Ukur diri dengan diri sendiri. Lihat sejauh mana kita telah berkembang. Kenal pasti apa yang masih perlu diperbaiki dan kemudian teruskan melangkah kerana dalam kehidupan, kita tidak perlu menjadi lebih baik daripada orang lain.

 

Kita hanya perlu berusaha menjadi lebih baik daripada diri kita yang semalam. "Jangan bandingkan bab pertama kehidupanmu dengan bab kedua kehidupan orang lain." Teroka diri. Kenali potensi. Perbaiki kelemahan dan teruskan berkembang. Itulah sebahagian daripada perjalanan I-T.U.N.E. (dengan Ilmu, Teroka, Ubah Sikap, Nilai Peribadi dan Evolusi Pemikiran)

 

Comments

Popular posts from this blog

Masa Adalah Amanah, Urus Dengan Bijaksana